Dilahirkan sebagai perempuan
sememangnya menjadi satu fitrah kita untuk sentiasa kelihatan cantik dan
menarik. Tidak kiralah siapa, selagi mana kita dilahirkan sebagai seorang
wanita, walaupun masih kanak-kanak perempuan pasti wujud perasaan dalam diri untuk
tampil cantik. Hakikatnya, anda haruslah mengakui diri anda cantik kerana
dirimu telah dijadikan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah s.w.t Maha
Pencipta sekalian alam. Jadi mengapa masih seringkali kita mengeluh? Adakah kita
menjadi hamba yang tidak bersyukur atau tidak redha terhadap ketentuanNya?
Kadang-kadang tidak dapat
dinafikan, wanita memang mudah berasa cemburu terhadap kelebihan wanita lain.
Ingatlah, setiap manusia diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Setiap wanita dijadikan cantik dengan keunikan yang tersendiri. Bayangkan di
dunia ini apabila Allah menciptakan wanita dengan satu rupa sahaja sebagai
keseragaman, pasti kita akan membebel-bebel pula tidak berpuas hati kerana
diciptakan keseragaman tersebut.
“Segala
kelebihan disyukuri, segala kekurangan diredhai”
Dalam keghairahan untuk tampil
cantik, kita seringkali pula melihat para wanita yang sanggup melakukan
pelbagai perkara semata-mata untuk tampil lebih menarik sehingga ada yang
sanggup melakukan perkara-perkara yang haram seperti membuat pembedahan hidung,
mencukur bulu kening, mewarnakan rambut dan sebagainya. Tidak kurang juga
wanita yang sudah cantik lalu membuka pula auratnya untuk dijadikan tatapan
umum. Alangkah ruginya kau wahai wanita yang membiarkan auratmu menjadi tatapan
umum...
“Maka bersabarlah untuk
(melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa
dan orang yang kafir di antara mereka.”
(Ayat 24, Surah
Al-Insaan)
Bersabarlah duhai hati,
Yakinlah bahawa janji Allah itu
pasti.
Syurga dipagari dengan kesusahan,
manakala neraka dipagari dengan keseronokan...
Oleh,
Siti Mardhiah binti Mansor.

0 comments:
Post a Comment